Isu-isu yang berkaitan dengan penamaan watak dan makna dalam filem ‘Labu dan Labi’.
Menurut Dendy Sugono dan Hasan Alwi (2002:103), makna itu terbentuk secara arbitrer dan konvensional. Apa yang dimaksudkan oleh Dendy dan Hasan Alwi ialah tentang makna yang berbentuk arbitrer itu ialah sesuatu makna itu tidak memiliki hubungan yang langsung dengan apa yang dirujuk atau diacukan. Menurut Wahyu Wibowo (2003:4), kearbitrarian dan konvensionalnya satu bahasa itu disebabkan oleh terdapatnya kepelbagaian bahasa dalam dunia. Begitu juga halnya dengan penamaan sesuatu kata. Ia bersifat arbitrari namun konsepnya itu masih bersifat konvensional bagi sesuatu kelompok masyarakat. S. Nathesan (2001:88) bersetuju dengan pendapat tersebut kerana menurut beliau makna yang hendak disampaikan itu bukan sekadar erti yang lahir begitu sahaja tapi adakalanya merupakan erti yang lebih dalam dan lebih luas, yang sekaligus menyangkut perasaan dan fikiran. Begitu juga dengan Nida E.A (1996:5) yang mengemukakan pendapatnya tentang hujah Plato yang mengganggap makna simbol ujaran sebagai sewenang-wenang sepenuhnya dan alat konvensional. Namun, bagaimana pula dengan penamaan sesuatu watak itu? Adakah ia bersifat arbitrari dan konvensional? Jadi, analisis penamaan watak bagi filem Labu Labi telah dipilih bagi menentukan kearbitrarian dan konvensionalnya sesuatu penamaan watak. Antara watak-watak yang terdapat di dalam filem Labu dan Labi menurut sumber laman web Sinema Malaysia ialah Labu, Labi, Majistret, Doktor, Hj Bakhil, Isteri Hj Bakhil, Manisah, Biduanita Saloma, Peragawati Sarimah dan banyak lagi. Watak yang akan dianalisis ialah watak Labu,Labi, Haji Bakhil, Manisah dan Isteri Hj Bakhil.
Sebelum melakukan analisis terhadap watak-watak yang terdapat dalam filem 'Labu dan Labi', terlebih dahulu diterangkan apa yang dimaksudkan dengan watak dan apa faktor yang diambil kira dalam memilih nama watak. Menurut Manali Oak, watak merupakan unsur yang membentuk cerita yang terjalin dengan plot drama atau filem. Setiap watak menurutnya mempunyai keperibadiannya yang tersendiri. Menurut Mohd Zaki Hj Awg Mat, pelukisan sesuatu watak itu boleh dilakukan secara langsung atau secara tidak langsung oleh pengarang melalui aksi, tutur kata, atau watak-watak berkenaan manakala sifat perwatakan akan digambarkan melalui tindak-tanduknya, cara berfikir, cara bercakap, rupa paras, fizikalnya, kepercayaannya dan ideologi, serta gambaran perasaan seseorang atau watak itu. Berdasarkan pendapat Mohd Zaki itu, watak yang dihasilkan atau dipamerkan dalam sesebuah drama atau filem itu memiliki makna yang tersembunyi dan ia perlu dirungkaikan. Menurut Abdullah Hasan (2005:226), kaedah terawal untuk kita mengetahui makna ialah dengan menunjuk kepada benda yang dimaksudkan.Jadi, jika kita ingin mengetahui makna sesuatu watak dalam sesebuah filem, kita hendaklah mengetahui dahulu apa yang dimaksudkan dengan nama yang diberikan bagi seseorang itu, kemudian huraikan satu persatu ciri-cirinya dan barulah dikaitkan dengan perwatakan dlm filem. Justeru itu, bagi merungkai persoalan tentang adakah penamaan nama watak dalam 'Labu dan Labi' ini bersifat arbitrari atau tidak, kaedah yang dikatakan oleh Abdullah Hasan akan digunakan.
LABU BIN KUNDUR
Watak pertama ialah watak Labu yang dipegang oleh seniman M. Zain. Labu ialah seorang berbadan kurus tinggi, berkulit hitam, suka makan, sering dipergunakan, sering dimarahi dan didenda, tidak diberi perhatian dan tidak dipeduli. , Labu merupakan pekerja kepada Haji Bakhil. Labu yang bekerja sebagai orang gaji Haji Bakhil, kerjanya meliputi sebagai tukang masak dan tukang cuci. Biarpun mempunyai kerja yang berat namun Labu tidak mahu berpindah dari rumah Haji Bakhil dan mencari kerja lain kerana Labu terpikat kepada anak Haji Bakhil iaitu Manisah.
Kenapakah nama “labu” ini dipilih? Kerana mudah disebut, mempunyai dua suku kata dan ada unsur humor. Apabila dilihat dari kata {labu} itu sendiri, ia boleh memberikan dua makna iaitu, buah labu ataupun labu yang digunakan sebagai tempat menyimpan barang iaitu labu yang diperbuat daripada tanahliat (juga dipanggil sebagai tembikar). Buah labu ini selain digunakan sebagai sumber makanan, ia juga digunakan sebagai tempat untuk menyimpan barang. Pada zaman dahulu masyarakat mengorek isi labu dan kemudian kulit labu itu digunakan sebagai tempat menyimpan barang. Isi labu boleh digunakan sebagai makanan dan kulit labu itu pula boleh digunakan sebagai tempat menyimpan barang (Razniza Mohammad, t.th). Pendek kata, buah labu banyak kegunaannya. Labu yang diperbuat daripada tanahliat ini pula sebenarnya meniru penggunaan buah labu tadi. Akan tetapi ia hanya diperbaharui iaitu dengan membuatnya menggunakan tanahliat dan bentuknya menyerupai buah labu. Labu atau tembikar ini pada zaman dahulu dipergunakan sebagai kegunaan harian (Hisyam, 2009).
Nama Labu dalam penamaan watak filem Labu dan Labi sebenarnya berpolisem dengan nama sejenis tumbuhan (herba memanjat) dan buahnya berbentuk bulat berwarna jingga dan juga ‘labu-labu’ sejenis buyung atau bekas tempat menyimpan air. Jika dilihat dari perspektif masyarakat zaman dahulu labu adalah tempat untuk menyimpan air dan biasanya kerja menyimpan air itu dilakukan oleh kaum wanita. Ia digunakan dalam kehidupan sehari-hari masyarakat ketika dahulu.
Pernyataan di atas boleh dikaitkan dengan watak Labu dan juga unsur penamaannya dalam filem Labu Labi. Apabila dilihat pada ciri-ciri yang ada pada labu, samada buah labu atau labu jenis tembikar ia mempunyai kegunaan harian. Watak Labu bekerja sebagai orang gaji iaitu tukang masak dan tukang cuci. Ciri-ciri ini bersamaan dengan benda labu yang telah dinyatakan tadi. Oleh itu boleh dikatakan, penamaan watak Labu ini dilihat berdasarkan kepada ciri-ciri yang ada pada buah labu dan labu (benda-tembikar). Kemudian ciri-ciri ini diaplikasikan ke dalam nama watak Labu. Biarpun penamaan watak boleh dikatakan selalu bersifat arbitrari namun, dari penamaan watak Labu ini ia lebih melihat kepada sifat, ciri dan fungsi asal labu itu sendiri dan kemudian diaplikasikan ke dalam watak labu. Dari itu, penamaan watak labu muncul hasil dari pemerhatian pengarang terhadap benda yang ada disekitarnya. Apabila melihat sifat, ciri dan fungsi yang ada pada buah atau benda labu tadi pengarang mula memberikan nama kepada watak berdasarkan makna yang terdapat dalam nama tersebut.
Namun begitu, pasti timbul juga tanda tanya tentang mengapa kata {labu} juga yang digunakan bagi menamakan watak Labu. Kenapa tidak benda lain?. Ini dilihat lagi dari segi kaitan yang terdapat pada buah dan benda labu tadi. Perkara penting yang ada pada labu (buah atau benda labu) ini adalah ia merupakan bahan yang digunakan dalam perkara domestik. Iaitu isi labu boleh dimakan, labu (tembikar) boleh digunakan sebagai tempat untuk menyimpan makanan atau air dan dipercayai juga boleh menyembuhkan penyakit. Ciri dan sifat ini dilihat ada pada watak labu. Watak Labu merupakan orang yang bertanggungjawab dalam perkara domestik seperti mengemas rumah, memasak dan mencuci. Perkara ini sama dengan aspek kegunaan harian bagi buah atau benda labu tadi dan hanya diaplikasikan ke dalam watak Labu. Akan tetapi, kenapa {labu} juga yang digunakan?. Ini berbalik kepada aspek buah dan benda labu tadi. Sudah setentunya kita mengetahui bahawa kedua benda tadi (buah labu dan labu-tembikar) tidak bernyawa. Sifat, ciri dan fungsinya diaplikasikan ke dalam watak Labu bagi memperlihatkan watak ‘bodoh cerdik’ yang juga merupakan satira terhadap sikap orang-orang Melayu (pnyt. Awang Azman Awang Pawi & Khor Chooi Lian, 2005) . Labu yang tidak bernyawa ini sudah setentunya tiada akal fikiran dan perkara ini sama dengan watak Labu yang tidak begitu pandai (bodoh). Akan tetapi dalam pada kebodohan Labu, dia juga seorang yang cerdik, ini dapat dilihat menerusi filem Labu Labi. Misalnya ketika Labu sering terjatuhkan barang ke lantai, bagi mengelakkannya dari terus dimarahi dia memberikan alasan bahawa hari tersebut adalah hari bodohnya. Kecerdikannnya juga dilihat apabila dia dilihat menyimpan angan-angan untuk menjadi orang yang berjaya. Namun begitu kebodohan watak Labu juga dapat dilihat kerana dia tidak mahu berusaha dan hanya tahu berangan-angan sahaja.
Penamaan watak Labu jelas tidak bersifat arbitrari. Ciri, sifat dan fungsi yang terdapat dari makna lain bagi kata {labu} mempunyai persamaan dengan perwatakan Labu. Kaitan yang jelas pada watak Labu dari segi ciri, sifat dan fungsinya ini membuktikan bahawa penamaan watak Labu ini adalah berdasarkan maknanya. Ia juga dipilih bukan kerana nama tersebut bersifat arbitrari, akan tetapi ia lebih melihat kepada maknanya dan mengaitkan dengan watak.
Jesse Labu
M.Zain merupakan seniman yang memegang watak Jesse Labu di dalam cerita Labu Labi. Perwatakan Labu di dalam kisah ini meniru watak Jesse James yang merupakan seorang penjenayah terkenal di Amerika.
Menurut Darwis Harahap(1993:21) gambaran yang nyata tentang tokoh itu dapat dilihat dengan mengamati gerak lakunya, cara pakaiannya dan cara dia bercakap, mimik mukanya atau cara dia berfikir. Jadi di dalam konteks filem labu labi, perletakan nama Jesse pada watak labu menunjukkan keterhubungkaitannya dengan penjenayah Jesse James dan ini menunjukkan bahawa nama'Jesse' yang diletakkan pada watak 'Labu' mempunyai rujukan dan tidak dilakukan sewenang-wenangnya.
HAJI BAKHIL BIN LEBAI KEDEKUT
Pemilihan nama Haji Bakhil ini bersesuaian dengan watak yang ditonjolkan di dalam filem Labu Labi ini. Berkemungkinan penulis skrip iaitu pengarang sengaja memilih nama Haji Bakhil demi menggambarkan sifat bakhilnya bukan saja melalui sifat dan perangainya tetapi juga melalui nama watak Haji Bakhil itu.
Manakala dari segi sifat dan perangainya, jelas sekali tergambar sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam buku P.Ramlee: Di cakera Nusantara suntingan Awang Azman & Khor Chooi Lian bahawa “watak Haji Bakhil ialah Bogeyman P.Ramlee untuk menunjukkan betapa lokek, tidak bertimbang rasa dan tamaknya orang kaya dalam kalangan orang Melayu” (2005:59). Di sini jelas bahawa watak yang dimainkan oleh Udo Omar iaitu Haji Bakhil memang menggambarkan watak bakhil sebagaimana yang tergambar melalui namanya.
Makna disebalik nama Haji Bakhil dalam filem Labu Labi. Secara ringkasnya, dalam laman web Majelis Aula Hikmah, sifat bakhil merupakan sifat atau perbuatan seseorang yang tidak mahu mengeluarkan atau menyisihkan sebahagian harta yang dimilikinya untuk orang lain. Dalam cerita ini, watak Haji Bakhil ditonjolkan dalam dua alam iaitu watak alam nyata dan alam mimpi. Pemilihan nama Haji Bakhil ini adalah bertujuan untuk menunjukkan seorang watak yang kaya tetapi bakhil, perwatakan bakhil ini iaitu kedekut ini jelas sekali ditonjolkan dalam bahagian dunia nyata, sifat-sifat yang dilihatkan dalam perwatakan Haji Bakhil ini adalah sifat sebenarnya Haji Bakhil. Sifat bakhilnya ini juga dijelaskan di dalam buku P.Ramlee: Di cakera Nusantara, “beliau hanya ada sebuah rumah, sebuah kereta Morris Minor, seorang pemandu dan seorang tukang masak” (2005:59). Manakala dalam dunia mimpi sifat-sifat bakhil yang dipegang oleh watak Haji Bakhil ini telah disampaikan dalam imej dan makna konotasi negatif bagi pandangan masyarakat.
Pandangan masyarakat mengenai sifat bakhil ini secara umumnya dipandang suatu sifat yang negatif. Begitu juga halnya dengan watak Labu Labi yang ditindas oleh Haji Bakhil dengan sifat kedekutnya, telah menggambarkan Haji Bakhil di dalam angan-angannya sebagai imej yang negatif kerana sifatnya yang bakhil itu hanya layak diberi imej yang negatif. Apa yang cuba disampaikan ialah makna disebalik nama bakhil ini bukan saja menunjukkan seorang itu kedekut malah kurang dari segi moral dan juga akan mendapat imej yang buruk daripada pandangan umum masyarakat. Sebagai contoh dalam angan-angan pertama dan kedua Labu Labi, watak Haji Bakhil telah digambarkan oleh Labu Labi sebagai pelayan. Ini kerana sifatnya yang bakhil itu telah membuat masyarakat tidak berpuas hati lalu memberikan satu pandangan yang tidak baik kepada Haji Bakhil walaupun Haji Bakhil itu seorang yang kaya, tetapi oleh kerana sifatnya yang tidak pernah beramal itu maka imej yang buruk ini diberikan kepadanya ada bersesuaian mengikut pandangan masyarakat umumnya.
Dalam angan-angan yang kedua, Haji Bakhil diberikan gambaran sebagai seekor monyet. Di sini, orang yang bersifat bakhil itu diberikan satu imej yang negatif. Watak Haji Bakhil dalam mimpi kedua Labu Labi, Haji Bakhil diberi watak seekor binatang. Ini kerana, sifatnya yang bakhil itu membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan dan boleh membuatkan seseorang itu tidak berhati perut sehinggakan mengeluarkan sejumlah wang untuk kebaikkan pun, dia merasa keberatan untuk mengeluarkannya. Perbuatan ini diibaratkan seperti kelakuan seekor binatang.
Justeru itu, berdasarkan penerangan yang telah dijelaskan di atas, penamaan watak Hj Bakhil adalah berdasarkan kata ‘bakhil’ yang bermaksud sangat kedekut. Seperti yang sebelumnya, penamaan watak itu mempunyai rujukan, jadi secara tidak langsung ia tidak bersifat arbitrer.
LABI BIN KURA-KURA
Watak seterusnya yang akan dibincangkan ialah Labi yang dipegang oleh Seniman P.Ramlee. Kenapa nama “labi” ini dipilih? Secara logiknya kata {labi} mudah disebut serta mempunyai dua suku kata sahaja sama seperti kata {labu}. Selain itu juga, ia mempunyai unsur humor bagi menepati konsep filem ini sebagai filem lucu. Dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai pemandu bagi Haji Bakhil. Namun begitu, kerja Labi bukan sekadar sebagai pemandu Haji Bakhil, tetapi dia turut menolong Labu dalam kerja domestik seperti mencuci pinggan mangkuk.
Kalau dilihat dari segi konteks bahasa, kata {labi} itu tidak mempunyai makna. Namun, jika ia digandakan menjadi ‘labi-labi’ ia merujuk kepada sejenis binatang yang satu jenis dengan kura-kura. Namun begitu bentuk badannya lebih besar berbanding kura-kura. Selain itu, ia juga memiliki paruh dan giginya juga dikatakan sangat tajam. Labi-labi juga digelar sebagai ‘soft shelled turtle’ kerana kulitnya yang dikatakan lebih lembut. Labi-labi juga turut bermanfaat kepada manusia kerana ia memberikan sumber ubat yang berkhasiat. Selain itu dalam cerita dongeng ada mengatakan labi-labi pada zaman dahulu kala digunakan sebagai kenderaan di air oleh manusia iaitu dengan menaiki belakangnya. Hal ini hampir sama dengan jika dilihat dalam bahasa Indonesia, kata ‘labi-‘labi’ itu menurut Vaisutis, Bedford, Elliot dan Ray merujuk kepada sejenis kenderaan yang digunakan sekitar Bandar di Indonesia. kedua perkara ini merujuk labi-labi sebagai satu kenderaan.
Ciri-ciri yang terdapat pada labi-labi ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan watak Labi. Perkara pertama yang berkaitan adalah labi-labi digunakan sebagai kenderaan (pada zaman dahulu, mahupun maksud perkataan ‘labi-labi’=kenderaan dalam perkataan Indonesia) dan ini hampir sama dengan watak Labi yang juga merupakan pemandu kepada Haji Bakhil. Biarpun watak Labi bukanlah sebagai kenderaan tetapi fungsinya sama dengan labi-labi kerana ia dijadikan sebagai sesuatu untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju.
Seperti yang telah dinyatakan, labi-labi boleh menjadi sebagai sumber ubat yang berkhasiat. Hal ini ada kaitannya dengan watak Labi dalam filem Labu Labi. Iaitu ketika Labu bermimpi menjadi orang kaya, Labu telah meminang Manisah anak kepada Haji Bakhil. Akan tetapi pinangan tersebut ditolak dan menyebabkan Labu marah lalu dia menggunakan khidmat bomoh dan ilmu hitam bagi memiliki Manisah. Ini menyebabkan Manisah terus tidak sedarkan diri. Biarpun banyak cara yang digunakan bagi mengubati Manisah (samada secara tradisional atau pun moden) namun tiada yang mampu menyembuhkannya. Labi yang berada dirumah meminta pertolongan pendeta dan mampu mengubati Manisah sekelip mata dengan menggunakan batu hikmah yang telah diberikan oleh pendeta tersebut. Hal ini jika dilihat berkaitan dengan binatang labi-labi yang juga merupakan ubat yang berkhasiat dan mempunyai permintaan yang tinggi. Dalam filem Labu Labi ini, watak Labi telah berjaya mengubati Manisah. Oleh itu dapat dilihat di sini bahawa ciri dan fungsi antara watak Labi dan labi-labi mempunyai kaitan antara satu sama lain. Ciri dan fungsi kedua ini mengukuhkan lagi bahawa penamaan watak Labi ada kaitan dengan ciri dan fungsi yang terdapat dalam labi-labi. Perkara ini menjadi bukti bahawa penamaan watak Labi yang seperti meniru ciri dan fungsi labi-labi boleh dikatakan tidak bersifat arbitrari. Ini kerana makna kepada nama Labi ini mempunyai rujukan kepada ciri dan fungsi yang ada pada labi-labi.
Selain itu, bagi mengukuhkan lagi ciri, sifat dan fungsi yang berkaitan antara watak Labi dan labi-labi adalah labi-labi juga dikatakan mempunyai kebiasaan berkelahi dengan binatang sejenisnya. Labi-labi juga pada kebiasaannya tidak hidup berkelompok (A.Maswardi, 1996). Jika dikaitkan dengan watak Labi, terdapat kesamaan ciri dan sifat ini. Seperti contoh, watak Labi dalam filem ini sering bertelagah dengan Labu yang juga adalah teman baiknya. Watak Labi juga tidak kisah untuk tinggal mahu pun tidur dimana. Ini dapat dilihat menerusi filem Labu Labi apabila Labu dan Labi tidak diberikan bilik untuk tidur tetapi hanya disuruh tidur diberanda rumah.
Ciri dan sifat yang mempunyai banyak persamaan ini menguatkan lagi bahawa penamaan watak Labi ini adalah berdasarkan kepada makna yang terdapat didalamnya. Oleh kerana penamaan watak Labi ini mempunyai rujukan, makna dari aspek ciri, sifat dan fungsi yang terdapat pada labi-labi, maka penamaan watak ini sekali lagi bukanlah bersifat arbitrari. Pemilihan nama bagi watak adalah berdasarkan maknanya. Nama Labi sengaja dipilih bagi menyesuaikan ciri, sifat dan fungsi yang disamakan dengan perwatakan manusia. Oleh itu jelaslah bahawa penamaan watak Labi bukan bersifat arbitrari berdasarkan sebab dan bukti yang telah diberikan. Perkara yang paling jelas menunjukkan penamaan watak ini berdasarkan maknanya apabila rujukan yang digunakan terhadap watak mempunyai makna yang tertentu.
MANISAH
Watak Manisah dipegang oleh Seniwati Mariani. Dia memainkan watak sebagai anak tunggal kepada Haji Bakhil bin Haji Kedekut. Manisah adalah seorang tukang Jahit yang bekerja sendiri. Dia merupakan orang yang mampu berdikari sendiri. Perwatakannya lebih kepada seorang yang baik, lemah lembut dan sopan santun. Selain itu, dia juga seorang yang paling cantik di Kampung tersebut. Hal ini jelas kerana watak labu dan labi sendiri meminati Manisah sehinggakan mereka mempunyai niat untuk memperisterikannya.
Penamaan watak ‘Manisah’ mempunyai kaitan dengan perwatakan yang dibawa oleh seniwati Mariani dalam filem Labu Labi. Berkemungkinan penamaan ‘Manisah’ ini diambil dari perkataan ‘manis’. Memandangkan Manisah memang berperwatakan seorang yang lemah lembut dan sopan. Tambahan pula, di dalam masyarakat Melayu, seorang yang lemah lembut dan sopan itu dikatakan manis dari segi kelakuannya. Di dalam buku Semantics 1 (1977: 217) ada menyatakan “names are frequently used simply to draw the hearer’s attention to the presence of the person being named or to remind the hearer of the existence or relevance the person being named”. John Lyons mengatakan yang tujuan penamaan sesuatu watak itu adalah bagi menampakkan kerelevenan watak tersebut. Hal ini jelas kerana kewujudan watak Manisah itu menonjol di dalam filem tersebut. Lagipun pelukisan watak tersebut menarik perhatian penonton. Penamaan watak ini dikuatkan lagi dengan pengaplikasian perwatakan watak Manisah yang boleh dikatakan sangat sinonim dengan perwatakannya.
Sehubungan dengan ini, jika dilihat pada filem-filem lain, setiap pelakon wanita yang memegang sebagai watak utama biasanya akan diberikan nama yang cantik dan mempunyai rupa yang cantik. contohnya nama-nama pelakon wanita yang memegang watak utama dalam filem lain ialah seperti Cikgu Murni, Puspawangi, Cikgu Ros dan sebagainya. Kesemua watak-watak tersebut diberi nama yang berkaitan dengan perwatakan yang dibawakan sekaligus berdasarkan dengan sifat fizikalnya. Jadi, ini mungkin boleh dikaitkan dengan penamaan Manisah dalam filem ini yang sesuai dengan perwatakan yang dibawanya. Menurut Raja Omar Ibrahim(pent), (1990:29) ada menyatakan yang setiap watak menggambarkan dengan jelas sesuatu personaliti itu. Dalam hal watak Manisah ini pula, personaliti watak tersebut menyerlah dan menggambarkan nama watak tersebut.
ISTERI HAJI BAKHIL
Watak ini dipegang oleh Rahimah Alias. Dalam filem Labu Labi, beliau mengambil peranan sebagai isteri kepada Haji Bakhil yang sepanjang masanya menjadi suri rumah tangga. Beliau tidak diberi nama watak yang khusus hanya diberi gelaran sahaja seperti panggilan ‘sayang’ yang dipanggil oleh Haji Bakhil. Manakala Manisah pula memanggil beliau dengan panggilan ‘mak’. Selain itu panggilan ‘mak encik’ pula digunakan oleh Labu dan Labi. Beliau tidak banyak memainkan watak dalam filem Labu Labi. Melalui kepelbagaian panggilan yang diberikan kepada Rahimah Alias menunjukkan bahawa penamaan watak dalam filem Labu Labi bersifat arbitrari.
KESIMPULAN
Keseluruhannya, setelah analisis dilakukan, terbuktilah bahawa tidak semua penamaan kata mahupun penamaan watak itu bersifat arbitrari. Hal tersebut bolehlah dirujuk pada analisis yang telah dilakukan. Dengan ini, ia sekaligus menyangkal bahawa bahasa dan penamaan sesuatu kata itu bersifat arbitrari kerana analisis yang telah dilakukan membuktikan bahawa beberapa proses penamaan yang dilakukan itu tidak bersifat sewenang-wenangnya melainkan mengacu atau mempunyai rujukannya tersendiri. Namun dari segi konvensionalnya pula, ia memang disepakati dan dipersetujui oleh masyarakat Melayu khususnya.
RUJUKAN
Abdullah Hassan(2005). Linguistik am. Kuala Lumpur: PTS professional publishing Sdn.Bhd.
Azman Awang Pawi, Awang dan Khoor Chooi Lian (pnyt.)(2005). P.Ramlee: Di cakera Nusantara. Sarawak: Universiti Malaysia Sarawak.
Darwis Harahap.(1993).Mengamati filem cereka. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd
Hasan Alwi, Dendy Sugono(2002). Telaah bahasa dan sastera. Jakarta: Adikarya Ikadi dan The Ford Foundation.
Jaludin Chuchu. (2010). Menyelusuri makna. Brunei Darussalam: t.pt.
Leech Geoffrey. (1981) Semantics: the study of meaning second edition-revised and updated. England: Penguin Books Ltd.
Lyons John(1977). Semantics 1. Great Britain: Cambridge University Press.
Nathesan.S.(2001). Makna dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nida, E.,A. (1996). Menerokai struktur semantik.(Terj. Mashudi Kader) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
Raja Omar Ibrahim(pent)(1990). Lakon layar: asas penulisan skrip. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Vaisutis, J., Bedford, N., Elliot, B. and Ray, N. (2007). Indonesia. Victoria: Lonely Planet Publication
Wahyu Wibowo(2003). Menajemen bahasa: pengorganisasian karangan pragmatik dalam bahasa Indonesia untuk mahasiswa dan praktisi bisnis. Jakarta: PT Gramedia Pustaka Utama.
Filem:
Labu Labi. (1962). Filem cereka. Singapura: Shaw Brothers.
Internet:
A.Maswardi. (1996). Budidaya Labi-labi. Diakses pada 6 Novermber 2010. Diambil dari http://www.scribd.com/doc/36914088/BUDIDAYA-LABI-LABI
Hisyam. (2009). Kraft tradisional dan baru (tembikar). Diakses pada 6 November 2010. Diambil dari http://cikguise08.blogspot.com/2009/09/kraft-tradisional-dan-dimensi-baru.html
Majelis aula Hikmah. Suami Bakhil bin Kikir?Diakses pada 8hb November 2010. Diambil dari http://aulahikmah.wordpress.com/2008/01/03/suami-bakhil-bin-kikir/ dilayari pada 8hb November 2010.
Manali Oak (t.th). Elements of Drama. Diakses pada 9hb November 2010. Diambil dari http://www.buzzle.com/articles/elements-of-drama.html
Mohd Zaki Hj Awg Mat (t.th). Aspek Kajian Sastera untuk kajian Kosmas. Diakses pada 9hb November 2010 Diambil dari http://bmspm.net/aspeksastera.htm
Razniza Binti Mohamad. (t.th). Tembikar. Diakses pada 6 November 2010. Diambil dari http://www.scribd.com/doc/18580656/TEMBIKAR
Sinema Malaysia (t.th). Diakses pada 8hb November 2010.Diambil dari http://www.sinemamalaysia.com.my/film/info/?id=Labu_dan_Labi_431





No comments:
Post a Comment